Blogger Template by Blogcrowds

Kecederaan tulang belakang jejas pundi kencing

Selasa, 22 Januari 2008
Kerosakan pada saraf tunjang boleh sebabkan lumpuh

KEBANYAKAN kes kecederaan tulang belakang yang membabitkan saraf tunjang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lumpuh. Masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Justeru, rawatan lebih tertumpu kepada mengelakkan kerosakan sekunder pada saraf tunjang dan tulang di sekelilingnya yang boleh menyebabkan kecacatan atau lumpuh yang lebih teruk. Ada kes yang menyebabkan kematian terutama kerana komplikasi berkaitan sistem respiratori.

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata kecederaan saraf tunjang tulang belakang atau ‘Spinal Cord Injury’ selalunya adalah trauma pada tulang belakang yang menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang sama ada kecederaan primer (kerosakan saraf kekal sewaktu trauma) atau kecederaan sekunder (kerosakan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma).

Dr Ezam berkata, antara kedua-duanya, kecederaan sekunder boleh dielakkan atau dikurangkan kesannya dengan rawatan tertentu.

“Saraf tunjang (spinal cord) adalah organ saraf atau neural yang bermula daripada pangkal otak dan berakhir pada tulang vertebra lumbar pertama dan kedua (L1/L2). Ia terletak di dalam saluran saraf tunjang (spinal canal) setiap vertebra yang bermula daripada vertebra servikal pertama.

“Saraf tunjang ini amat sensitif kepada sebarang kecederaan. Justeru, sebarang kecederaan boleh menyebabkan kerosakan yang kekal,” katanya.

Dr Ezam berkata, secara umum kecederaan saraf tunjang dibahagikan kepada kecederaan penuh (complete transaction) atau tidak sepenuhnya (incomplete cord injury). Kecederaan saraf tunjang sepenuhnya bermaksud kehilangan sepenuh kawalan saraf dan deria rasa (sensasi) dan fungsi otot dan organ pada bahagian yang cedera serta ke bawah tahap kecederaan terbabit.

Kecederaan saraf tunjang yang tidak sepenuhnya pula bermaksud saraf tunjang pada bahagian yang tercedera masih berfungsi. Contohnya, bagi kecederaan saraf tunjang tidak sepenuhnya ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot tertentu tetapi deria rasa masih normal.

Selain itu, katanya, wujud risiko kedua-dua tangan dan kaki lumpuh jika kecederaan terjadi pada bahagian saraf tunjang servikal (di tengkok).

“Jika kecederaan saraf tunjang itu terjadi pada bahagian tulang belakang bawah (lumbar dan thorako-lumbar) ia boleh menyebabkan kedua-dua kaki lumpuh. Kawalan bagi pundi kencing dan anus juga akan mengalami kerosakan,” katanya.

Pada peringkat global, kecederaan tulang belakang memang masalah yang kerap berlaku. Di Amerika contohnya, 10,000 kes kecederaan tulang belakang dilaporkan setiap tahun. Dengan 200,000 orang di Amerika hari ini hidup dengan tangan, kaki atau kedua-duanya lumpuh.

Kecederaan tulang belakang selalunya disebabkan kemalangan jalan raya, kecederaan ketika bersukan, dibelasah dan jatuh dari tempat tinggi.

Rawatan ;
- Rawatan awal ditumpukan untuk menstabilkan keadaan pesakit yang tercedera ini daripada
mengalami kecederaan sekunder termasuk rawatan bantuan pernafasan jika diperlukan,
pengawalan perdarahan dan rawatan kecederaan lain yang dialami pesakit trauma.

- Peringkat rawatan susulan membabitkan pembedahan menstabilkan tulang belakang (jika

perlu), rawatan fisioterapi dan rehabilitasi adalah amat penting sekali.

“Rawatan menstabilkan tulang belakang biasanya membabitkan pembedahan dan penggunaan implan bagi menstabilkan semula tulang belakang yang rosak. Bagaimanapun, pembedahan ini tidak bermaksud fungsi otot yang dikawal oleh saraf tunjang pada bahagian itu akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Tujuan pembedahan untuk menstabilkan tulang belakang bagi memudahkan proses rehabilitasi dan fisioterapi, mengurangkan atau mengelakkan kesan kecederaan sekunder kepada saraf tunjang pada bahagian tulang belakang yang berkenaan dan mengurangkan risiko deformasi lanjutan pada tulang belakang pada masa hadapan.

Selain itu, katanya sokongan keluarga sangat penting untuk membantu pesakit kembali pulih. Pesakit lumpuh tidak boleh bergerak sendiri. Jika tidak dibawa untuk menjalani sesi terapi dan rehabilitasi dan mendapat sokongan moral, motivasinya terjejas dan pesakit akan mudah mengalami kemurungan,” katanya.

INFO: Kesan kecederaan saraf tunjang
Pergerakan dan kawalan otot - ketidakupayaan mengawal otot.

Hilang sensasi - ketidakupayaan mengawal rasa panas, sejuk dan sakit. Malah, tidak boleh mengawal suhu badan.

Kawalan sistem organ - ketidakupayaan mengawal usus/pundi kencing selain kehilangan fungsi seksual dan tidak subur.

Bahan ini dipetik dari Berita Harian, 20 Januari 2008

Balasan syurga bagi orang menahan marah, nafkahkan harta

Isnin, 14 Januari 2008
Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.

Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.

Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan.

Daripada Abu Dzar, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah berpesan kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Daripada Sahl bin Muaz bin Anas, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah SWT akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah SWT memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, sifat ahli syurga juga ialah mereka suka memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap diri mereka, sehingga tidak ada sedikitpun niat dalam diri mereka untuk membalas dendam kepada seseorang.

Rasulullah SAW menjelaskan daripada Ubay bin Kaab, di mana baginda bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Sifat ketiga yang ada pada ahli syurga ialah mereka suka memohon ampun terhadap kesalahan mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah ali Imran, ayat 135).

Bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT, Allah SWT akan mengampunkannya. Daripada Abu Said, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berikanlah kasih sayang, nescaya kalian akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang-orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang-orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedang mereka mengetahui (larangan berbuat dosa itu).” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Cari Sharlinie Seluruh Negara

Jumaat, 11 Januari 2008
Polis perketat kawalan di sempadan, buru dua suspek culik budak lima tahun.

PETALING JAYA: Polis mengetatkan kawalan di semua pintu sempadan dan lapangan terbang dalam gerakan mencari Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang berhampiran rumahnya di Taman Medan, dekat sini, kelmarin serta memburu dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, gerakan bersepadu besar-besaran yang bermula semalam itu turut membabitkan langkah mengedarkan poster mangsa dan lakaran wajah suspek ke seluruh negara.

Katanya, satu pasukan khas yang dianggotai bersama pegawai dan anggota polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya juga ditubuhkan untuk menerajui siasatan.

Pasukan itu yang sedang berusaha menjejak dan mengenal pasti dua suspek terbabit berdasarkan lakaran wajah atau fotofit yang diperoleh daripada maklumat saksi, diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad.

Musa berkata, lakaran itu turut diedar kepada media bagi membantu siasatan polis yang dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada penjagaan sah dan mereka yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun.
"Kita akan bertindak pantas mengesan suspek dan melancarkan gerakan besar-besaran serta berharap saksi kejadian terutama peniaga dan orang ramai tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan ibu bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin dan Suraya Ahmad.

Mereka sebelum itu mendengar taklimat yang diberikan Arjunaidi berhubung kes kehilangan Sharlinie.

Kelmarin, akhbar melaporkan Sharlinie hilang ketika berjalan pulang ke rumah bersama kakaknya di Jalan PJS 2C/11N, Taman Medan, dekat sini selepas bermain di taman permainan berdekatan, pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Berdasarkan maklumat kakaknya, Sharliena, 8, seorang wanita berambut paras leher dan memakai kasut tumit tinggi mengumpan adiknya dengan gula-gula sebelum menariknya masuk ke dalam kereta berwarna hitam lalu melarikannya.

Mangsa adalah kanak-kanak perempuan kedua dilaporkan hilang dalam tempoh kurang 48 jam di situ, selepas Nur Fatihah Zaidi, 6, dilarikan seorang lelaki bermotosikal ketika bermain di taman permainan Pangsapuri Desa Sepakat, kira-kira enam kilometer dari situ sebelum ditemui ditinggalkan di Wangsa Maju.

Dalam kes Nur Fatihah, lelaki berkenaan dikatakan mengajak mangsa mencari kucing dan burung, sekali gus menguatkan dakwaan suspek mungkin lelaki sama dengan `lelaki kucing' yang mencabul dua kanak-kanak perempuan di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak pertengahan tahun lalu.
Polis sebelum ini turut melihat kemungkinan kaitan kehilangan Sharlinie dengan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati kira-kira sebulan selepas dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan seorang lelaki, September lalu.

Musa berkata, fotofit dua suspek yang diedarkan polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan Sharlinie adalah sama dengan lakaran wajah lelaki yang menjadi buruan dalam kes cabul dua kanak-kanak di Kampung Baru.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Medan sudah dipanggil bermesyuarat dan beliau sudah meminta Khalid berbincang dengan mereka bagi menempatkan seorang dewasa di taman permainan itu bagi mengawasi kanak-kanak di situ.

Katanya, beliau juga mengesyorkan supaya JKKK di kawasan lain mengambil langkah sama dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak yang menjadi tanggung jawab bersama polis serta semua ibu bapa.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kerjasama semua pihak khususnya orang ramai dan media dalam membantu menjejaki Sharlinie dan suspek amat diperlukan bagi mengelak kes seperti yang berlaku terhadap Nurin Jazlin berulang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes kehilangan Sharlinie boleh menghubungi polis di talian 03-79662184/2177 atau SMS ke Rakan Cop, di nombor 32728.